Golongan antivaksin boleh didakwa

Ridauddin Daud
Januari 2, 2021 09:14 MYT
Golongan anti vaksin yang kerap menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Golongan antivaksin yang kerap menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zuraini Ab Hamid berkata, sekiranya didapati bersalah, mereka boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Bukan itu sahaja, kes berita palsu juga boleh disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.
“Ada berpandangan kerajaan harus ambil tindakan yang tegas terhadap golongan antivaksin yang sebarkan berita palsu ini.
“Saya lihat isu ini harus disiasat dengan lebih terperinci sekiranya ia beri impak besar dan mengganggu gugat keamanan negara dan timbulkan ketakutan kepada orang awam atau timbulkan ketidakpercayaan terhadap institusi kerajaan dalam isu berkaitan vaksin.
“Maka, tindakan tegas, tindakan undang-undang harus diambil terhadap golongan ini,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, tindakan harus diambil bagi mengelak rakyat buat keputusan salah berkaitan vaksin sehingga mengancam nyawa dan menggugat keamanan negara.
Dalam pada itu, peguam, Lim Wei Jiet mencadangkan dua strategi untuk kerajaan membendung golongan tersebut.
Pertama, kerajaan perlu segera menafikan atau membetulkan berita palsu daripada golongan antivaksin dan konsisten sampaikan mesej kepada rakyat bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat dan tidak melanggar hukum agama.
“Maksud saya, mesti ada strategi menyeluruh, 24 jam untuk kekang mesej anti vaksin di luar sana yang memang merebak dengan cepat.
“Strategi kedua adalah kuat kuasa undang-undang jenayah iaitu memulakan pendakwaan kepada kumpulan antivaksin.
“Ia penting untuk sampaikan mesej kepada masyarakat bahawa naratif antivaksin ini amat berbahaya dan harus dihentikan serta-merta,” ujarnya.
Tegasnya, jika enggan berhenti, mereka perlu sedia untuk dipenjara atau didenda wang ringgit.
#Anti vaksin #berita palsu #COVID-19 #Akta SKMM #Seksyen 233 #Seksyen 505 #Kanun Keseksaan #undang-undang #penjara #vaksin #jenayah #kerajaan #UIAM #peguam