Individu atau pihak yang didapati membocorkan soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) harus bersedia menerima hukuman berat di atas tindakan yang boleh dikategori sebagai satu kes jenayah.

Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, rakyat juga harus sedia faham perbuatan pelaku ini merupakan sifat tidak jujur, tidak ikhlas dan tidak berintegriti.

"Bagaimanapun adalah tidak wajar menuding jari kepada Kementerian Pendidikan atau penjawat awam secara keseluruhan, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

"Tidak dapat dinafikan insiden ini telah mencemarkan kredibititi dan integriti Kementerian mahupun imej penjawat awam secara keseluruhan biarpun siasatan masih sedang dijalankan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor mengulas mengenai isu kebocoran kertas peperiksaan UPSR yang dilihat amat mendukacitakan dan mengancam sistem pendidikan negara.

Ujarnya, pihak Kementerian Pendidikan bersama-sama dengan pihak Polis Diraja Malaysia harus menjalankan siasatan yang menyeluruh kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku selain tidak boleh dimaafkan sama sekali.

"Jika wujud unsur rasuah, pihak polis harus memanjangkan kes ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kejadian ini bukan sahaja memberi kesan kepada murid dan ibu bapa malah pihak sekolah, guru-guru serta petugas yang bertanggungjawab menyelia proses peperiksaan turut menerima nasib yang sama," ujarnya.

Tambahnya, semua harus faham ramai pejawat awam termasuk guru-guru menjalankan tanggungjawab dengan sentiasa mematuhi peraturan atau undang-undang dan etika perkhidmatan awam.

"Kerajaan harus sentiasa memandang serius dan tegas terhadap sebarang insiden melibatkan penjawat awam menerima rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan kedudukan, pecah amanah dan sebagainya yang bukan sahaja membawa kesan kepada perkhidmatan awam itu sendiri malah juga kepada masyarakat dan negara secara umumnya.

"Amalan murni, jujur, ikhlas serta mempunyai sikap bersih, cekap dan amanah adalah pendokong utama ke arah pembentukan barisan penjawat awam yang profesional. Penjawat awam dalam konteks Islam adalah pemegang amanah dan tanggungjawab yang perlu menunaikan dan menuruti apa yang telah diperintahkan dengan etika profesionalisme," katanya.

Jelasnya, tatacara pengendalian piawai (SOP) penyediaan kertas peperiksaan juga wajar dikaji semula selain pihak berkenaan harus memastikan semua langkah-langkah yang wajar dan perlu untuk memastikannya tidak berulang pada masa hadapan.