KUALA LUMPUR: Seorang graduan jurusan farmasi di sebuah universiti swasta didakwa di dua Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menipu dan memperdaya berhubung pembelian PlayStation 5 (PS5), tahun lepas.

Bagaimanapun, Bryan Tan Pei Er, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali dan Wong Chai Sia.

Pertuduhan pertama hingga keempat, Bryan didakwa menipu tiga lelaki dan seorang wanita dengan memperdayakan mereka bahawa tertuduh akan memberikan PS5 Disc Version sedangkan alat permainan itu tidak ada sehingga mangsa menyerahkan wang berjumlah RM10,230 kepada tertuduh sendiri dan melalui akaun bank milik tertuduh serta ibunya.

Lelaki itu juga didakwa atas satu pertuduhan menipu seorang wanita dengan memperdayakannya untuk menyerahkan wang RM68,800 yang dipindahkan ke dalam akaun bank tertuduh dan ibunya bagi pembelian patung Bearbrick yang tidak wujud.

Sementara itu, di hadapan Wong, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memperdayakan dan menipu dua lelaki berhubung pembelian PS5 sehingga kedua-dua mangsa menyerahkan wang masing-masing RM19,550 dan RM3,408 kepada tertuduh.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di Setapak, Brickfields, Dang Wangi, Cheras, dan Sentul antara 29 Ogos hingga 7 Nov 2021.

Bagi pertuduhan menipu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan memperdayakan, pendakwaan mengikut Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin berjumlah RM16,500 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 3 dan 4 Mac.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lyn dan G. Phulrani Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan kerana memperdaya hampir 150 pembeli pratempahan konsol permainan PS5 sehingga kerugian kira-kira RM500,000 dan dia turut menggunakan akaun ibunya untuk melakukan urus niaga pratempahan yang dijalankan secara dalam talian.