KUALA LUMPUR: Keluaran graduan perubatan tempatan didapati berada di bawah unjuran keperluan Kementerian Kesihatan (KKM), kata Datuk Noraini Ahmad.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, pada tahun 2020, seramai 2,967 graduan perubatan dihasilkan institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam negara.

Jumlah itu katanya merangkumi 958 graduan dari Universiti Awam (UA) dan 2,009 graduan keluaran institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

"Pelan Strategik KKM 2016-2020 menetapkan sasaran nisbah doktor perubatan kepada penduduk di Malaysia menjelang tahun 2025 adalah sebanyak 1:400.

"Bagi mencapai nisbah tersebut, purata keperluan tambahan setiap tahun adalah seramai 4,000 orang.

"Dengan merujuk kepada statistik sedia ada, keluaran graduan perubatan tempatan berada di bawah unjuran keperluan KKM.

"Bagaimanapun, di bawah Akta Perubatan 1971, semua graduan perubatan termasuk dari luar negara wajib mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk menjalani khidmat wajib," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu jumlah graduan yang tamat pengajian di bidang Fakulti Perubatan dan Fakulti Undang-Undang IPTA dan IPTS pada tahun 2020-2021 dan sama ada angka ini melebihi keperluan pasaran kerja dan apakah strategi untuk memastikan satu imbangan yang sihat antara keperluan dan permintaan pasaran kerja dan aspirasi negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata KPT dari semasa ke semasa memantau pengambilan pelajar Sarjana Muda Perubatan bagi memastikan satu imbangan yang sihat antara keperluan dan permintaan pasaran kerja serta aspirasi negara.

Berkait graduan undang-undang, Noraini berkata ratio nisbah peguam kepada penduduk di Malaysia adalah selaras dengan nisbah peguam kepada penduduk di beberapa negara lain.