KUALA LUMPUR: Sebarang perbincangan berkenaan pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) masih belum diadakan di peringkat Kabinet.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelaksanaan cukai tersebut kepada negara juga masih tidak mempunyai sebarang keputusan.

“Saya tidak kata tidak. Yang saya kata, belum dibincangkan lagi. Tidak ada lagi perbincangan mengenai cukai seperti GST itu. Belum ada dibincangkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah cukai GST yang pernah diperkenalkan dahulu akan dilaksanakan semula.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyarankan kerajaan agar mempertimbangkan semula pelaksanaan GST bagi memastikan ekonomi negara terus mampan dan teguh.

Naib Presiden Muda, Zaidel Baharuddin berkata, sistem cukai GST lebih menyeluruh dan telus berbanding cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST).

Menurutnya, ia merupakan satu sumber pendapatan kepada kerajaan yang lebih stabil dan dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada cukai hasil minyak dan gas.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.