Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sepatutnya dilaksanakan sejurus selepas ianya diumumkan, dan bukannya menunggu sehingga berbulan, kata bekas penasihat ekonomi negara, Tun Daim Zainuddin.

Katanya, tindakan itu akan memberi ruang kepada pelbagai pihak untuk memperdebatkan isu tersebut.

"Sepatutnya semasa diumumkan terus dilaksanakan. Jangan tunggu 15 bulan, kita bagi orang debat. Cukai adalah rahsia sebenarnya.

"Ini kita bagi masa, orang berdebatlah. Memang orang tak suka cukai. Tidak pernah bila umum cukai kita tangguhkan pelaksanaannya sebab cukai perkara rahsia," kata Daim dalam satu temubual esklusif di Malaysia Gazette.

Katanya, beliau pernah memperkenalkan cukai tersebut pada 1995 bagi meluaskan pendapatan negara namun ia tidak mendapat persetujuan dari Tun Dr Mahathir yang pada ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri.

"Saya cuba perkenalkan GST pada tahun 1985 untuk luaskan pendapatan negara supaya tidak bergantung kepada Petronas tapi Tun Mahathir tidak setuju... GST memang tidak popular tetapi sudah lebih 160 negara melaksanakannya.

"GST sebenarnya untuk mengenakan cukai kepada orang kaya. Kalau kita tidak mahu bayar (GST) jangan belanja," katanya lagi.

Selain itu, Daim turut mengkritik tindakan kerajaan yang dikatakan 'tidak tentu hala' ketika menerangkan tentang cukai tersebut.

"Yang rakyat mahu tahu, adakah makanan keperluan dikenakan GST atau tidak, kalau tidak kena (cukai) oklah. Ini tidak, cerita benda tidak tentu hala, sekarang kelam-kabut," tegasnya.

Menurut beliau lagi, penerangan yang kurang tepat atau tidak konsisten akan menyebabkan ramai pemimpin kesatuan beralih menyokong pembangkang.

Katanya, semasa dahulu, Kabinet akan memanggil kesatuan-kesatuan itu untuk mendapatkan maklum balas melalui perbincangan sebeluam melaksanakan sesuatu.

"Kalau kerajaan selalu berjumpa, berbincang, tidak meminggirkan mereka- percayalah mereka tidak akan menentang kerajaan. Itu baru yang dikatakan kerajaan mendahulukan rakyat," tambahnya.