LANGKAWI: Gerakan Tanah Air (GTA) akan menumpukan kepada usaha meyakinkan pengundi muda dan baharu dalam gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini kerana golongan itu mungkin belum biasa dengan keadaan politik semasa sekali gus memerlukan penjelasan tentang situasi semasa dalam negara ini.

"...mereka (jentera pilihan raya GTA) akan cuba meyakinkan bahawa Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) kali ini adalah Pejuang yang berjuang untuk perjuangan asal yang dahulu dipegang oleh Bersatu. Yang itu satu. Yang kedua, kita nak tumpukan kepada pengundi automatik dan pengundi muda.

"...khususnya kita mendapati bahawa mereka (pengundi muda) hanya menurut jejak langkah ibu bapa mereka," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama jentera pilihan raya Pejuang dan GTA di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di sini hari ini.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu berkata sekiranya benar terdapat kes terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung bukunya 'My Story: Justice in the Wilderness', sebarang tindakan yang diambil terhadap kes itu perlu berteraskan kepada undang-undang.

Pada 9 Oktober lepas, Kabinet bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara itu dalam buku berkenaan.

-- BERNAMA