Polis telah merakamkan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung dengan kehilangan RM19.25 bilion daripada Tabung Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah menjejaskan 121,429 individu serta syarikat.

Lim dalam satu kenyataan hari ini, berkata, di bawah Akta GST 2014, bayaran balik untuk cukai input hendaklah dibuat dalam tempoh dua minggu tetapi sebilangan besar syarikat dan individu ini tidak menerima bayaran balik sejak dari 2015.

"Sejumlah besar daripada 121,429 syarikat dan individu yang terlibat dengan skandal ini, sekarang tertanya-tanya mengapa wang RM19.4 bilion dalam Tabung Bayaran Balik GST itu tidak dikembalikan kepada mereka dalam tempoh dua minggu seperti yang dikehendaki oleh undang-undang, sejak mula 2015 2016, 2017 atau 2018," katanya.

Lim berkata tabung tersebut hanya memiliki baki sebanyak RM148.6 juta dan wang yang hilang berjumlah RM19.25 bilion.

"Di mana RM19.25 bilion yang hilang sejak 2015? Kerajaan bagaimanapun sedang berusaha keras untuk mengembalikan RM19.4 bilion mulai pada tahun depan kerana wang itu adalah milik rakyat," katanya.

-- BERNAMA