Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempraktikkan apa yang dilaungkan dengan meletak jawatan atau berundur sebagaimana yang beliau sentiasa meminta orang lain berbuat demikian.

Dr Hilmi berkata Guan Eng sebelum ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi Peguam Negara telah membersihkan Najib daripada semua pertuduhan.

"Sekarang, sebagai pemimpin negeri yang sentiasa meminta orang lain meletak jawatan kerana dakwaan rasuah, Lim juga harus berbuat demikian.

"Jika Lim mempunyai integriti, beliau harus mengundur diri," kata Dr Hilmi.

Pada Khamis, Guan Eng, 56, didakwa di Mahkamah Tinggi di sini kerana menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Setiausaha agung DAP itu dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn, George Town, Pulau Pinang daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta.

Dr Hilmi, yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau, juga berkata keengganan Guan Eng mengambil cuti atau melepaskan jawatan menunjukkan bahawa prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan yang dilaungkan oleh parti sekarang telah berkubur.

Sementara itu, anggota dewan undangan negeri Pulau Betong, Mohamad Farid Saad berharap untuk melihat kemunculan Ketua Menteri yang baharu pada persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang.

"Lim perlu menunjukkan contoh yang baik kepada orang lain dan membuktikan bahawa beliau mengotakan janjinya," kata beliau.