Berang dituduh sebagai rasis, Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Bendahari PAS Razman Zakaria.

Guan Eng berkata tuduhan Razman yang mendakwa beliau anti Raja Melayu kerana menasihatkan pemimpin DAP supaya tidak menerima pingat sebagai tidak berasas.

"Kenyataan saya telah diputarbelitkan oleh PAS, seolah-olah nasihat sedemikian adalah biadap dan anti Melayu dan Raja Melayu," katanya kepada media di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata saranan untuk ahli DAP tidak menerima gelaran Datuk tidak hanya dilakukan parti itu kerana pemimpin UMNO Tun Ghafar Baba pernah melakukan perkara sama ketika menjawat jawatan timbalan perdana menteri.

"Kalau begitu, Ghafar Baba semasa menjadi timbalan perdana menteri pun tidak mahu terima gelaran Datuk bolehlah dianggap sebagai tindakan anti Raja atau Melayu," kata Guan Eng.

Beliau ketika mempertahankan saranannya itu mahu pemimpin DAP menumpukan khidmat sebagai wakil rakyat buat masa ini daripada mengejar pangkat dan gelaran.

"Lagipun, kalau kita lihat Ketua Menteri pun belum dapat Datuk lagi, takkan exco dia pula nak dapat Datuk," katanya.

Tuduhan itu dibuat Razman dalam program Himpunan Perpaduan Ummah di Kampung Gajah Pasir Salak semalam.