KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menyebabkan projek National Feedlot Center (NFC) gagal dimuktamadkan, dakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, ada pembeli baharu dikatakan mempunyai kekuatan kewangan dan pelan menyeluruh mahu membeli NFC namun Guan Eng tidak meluluskan permohonan tersebut.

“Sebaliknya, mereka (Pakatan Harapan) mengambil tindakan untuk meneruskan saman sivil untuk menuntut syarikat NFC untuk membayar balik seluruh pinjaman itu.

BACA: Bicara kes saman kerajaan Malaysia terhadap NFC bersambung 24 Jan 2022

BACA: Audit gagal buktikan NFC beli hartanah guna pinjaman

“Tindakan ini boleh dianggap pelik jika niat dan keutamaan ialah untuk mendapat balik dana tersebut dan menjayakan projek,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau.

Tambahnya, meskipun bukan beliau yang meluluskan pinjaman RM250 juta kepada syarikat tersebut namun namanya sering dikaitkan dengan isu tersebut dan menjadi propaganda utama PH selama sembilan tahun.

“Perlu ingat bahawa ini ialah pinjaman RM250 juta. Ini bukan geran percuma ataupun projek mencurigakan seperti bayaran RM305 juta untuk membuat laporan terowong Pulau Pinang.

“Selepas diberi pinjaman itu, syarikat NFC mengalami kesukaran untuk meneruskan projek pada garis masa yang ditetapkan kerana ada beberapa projek infrastruktur sokongan yang merupakan tanggungjawab Kementerian Pertanian telah lambat dibina.

“Walaupun projek mereka telah diperlambatkan, syarikat NFC masih perlu menanggung kos faedah ke atas pinjaman itu,” ujarnya.

BACA: Langsai hutang NFCorp bantu selesai beban kewangan negara - Penganalisis

Katanya lagi, syarikat itu kemudiannya menggunakan sebahagian dana tersebut untuk pelaburan lain yang tiada kaitan dengan projek NFC untuk mendapat pulangan, bagi membayar faedah pinjaman.

“Bagaimanapun, ini dipercayai telah melanggar syarat-syarat pinjaman.

“Dengan itu, pemilik NFC didakwa di dalam mahkamah semasa saya PM tetapi akhirnya, mahkamah mendapati mereka tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan NFC akan memanggil empat lagi saksi dalam perbicaraan kes saman Kerajaan Malaysia terhadapnya yang menuntut syarikat itu membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Peguam Chong Kah Yee, yang mewakili NFC, ketika dihubungi berkata saksi defendan iaitu pakar juruaudit Andrew Heng telah selesai memberi keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Anand Ponnudurai pada 17 Mac lepas.