Gudang haram simpan lebih 1,000 tangki sisa buangan terjadual diserbu

Bernama
Julai 7, 2021 08:02 MYT
Amirul (kiri) bersama DSP Rosdi membuat pemeriksaan bangunan yang menyimpan lebih 1000 unit IBC tank yang mengandungi buangan separa pepejal yang disyaki buangan terjadual di Kampung Kembirian, Manggatal hari ini. - Bernama
KOTA KINABALU: Sebuah gudang haram menyimpan lebih 1,000 tangki sisa buangan terjadual diserbu pihak berkuasa dalam operasi di Kampung Kembirian, Manggatal di sini petang semalam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah Amirul Aripin berkata, serbuan pada 2.30 petang itu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dibuat selepas mendapat aduan daripada penduduk kampung yang menghidu bau kurang menyenangkan dipercayai bahan terlarang.
"Intipan telah dibuat di kampung berkenaan selama seminggu, penduduk menghidu bau seperti diesel dan bahan kimia diproses, selain didapati takungan air di hadapan premis berkenaan menunjukkan kesan minyak.
"Hasil serbuan telah menemukan lebih 1,000 tangki yang mengandungi bahan buangan separa pepejal yang disyaki didapati hasil daripada operasi di laut," katanya kepada pemberita di kawasan operasi itu di sini hari ini.
Beliau berkata Jabatan Kimia Sabah telah mengambil sampel bahan daripada tangki berkenaan untuk dianalisis bagi tujuan siasatan lanjut dan keputusan siasatan akan dimaklumkan secepat mungkin, selain pihaknya sedang mengenal pasti pihak yang terlibat.
Katanya, siasatan mendapati pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai mengambil jalan pintas dengan menggunakan gudang haram menyimpan bahan tanpa sebarang dokumen atau lesen pengesahan daripada JAS.
"Pihak yang terlibat akan diambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti iaitu penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000," katanya.
-- BERNAMA
#sisa #sisa buangan #gudang haram #pihak berkuasa #JAS #Jabatan Alam Sekitar #polis #PDRM #DBKK #kampung kembirian #Manggatal