IPOH: Dua peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi maklumat palsu dalam kad pengenalan pada 2015.

Tertuduh, Mohamad Halmi Warajemini, 55 tahun, dan Affendy Abdul Aziz, 49 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa memberi maklumat palsu dalam material kad pengenalan bahawa alamat penuh tempat kediaman mereka di Malaysia adalah Kediaman Diraja Istana Kinta, di Ipoh, yang mereka tahu bahawa maklumat tersebut adalah palsu. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara UTC Perak di Aras 4, Pasar Besar Ipoh, Jalan Dato’ Onn Jaafar, di sini, pada 26 Okt 2015.

Kesalahan didakwa dilakukan di bawah Sub-peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksima tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Sally Chay menawarkan jaminan RM10,000 kepada kedua-dua tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan serius dan kedua-dua mereka tidak mempunyai kediaman tetap di Perak.

Mahkamah | Dua individu didakwa guna alamat Istana Kinta

Peguam Mohamad Salihen Mastor bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan kerana Mohamad Halmi yang tinggal di Johor Bahru berniaga kecil-kecilan, tidak mempunyai pendapatan tetap, di samping menanggung isteri dan dua anak.

Menurutnya, Affendy yang tinggal di Subang Jaya juga tidak mempunyai pendapatan tetap hasil perniagaan produk kesihatan, di samping mempunyai seorang isteri dan 10 anak.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Di samping itu, Mohamad Halmi dikehendaki melaporkan diri sebulan sekali di Balai Polis Kempas manakala Affendy di Balai Polis Subang Jaya.

Mahkamah turut menetapkan 8 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes.