TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff, baru-baru ini berkongsi beberapa tip menjaga keharmonian dalam hidup berumah tangga.

Terdapat beberapa panduan dikongsikan termasuk wanita menggunakan bahasa "paling murni" sekiranya ingin menegur suami dan pastikan juga suami berada dalam keadaan tenang dan berehat.

Bagi suami pula, dalam Islam, beliau dilaporkan berkata adalah dibenarkan bagi suami untuk tidur berasingan daripada isteri selama tiga hari sebagai salah satu cara untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan sikap isteri.

Namun, dalam beberapa tip diberikan, nasihatnya agar "suami menggunakan sentuhan fizikal yang 'lembut' kepada isteri sekiranya tidak mendengar nasihat" pantas menjadi buah mulut warganet.

Bahkan, ada yang mendesak beliau meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak bersesuaian atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri. 

Ahli politik, Nurul Izzah Anwar turut mengkritik kenyataan itu dan beliau menegaskan: "Nasihat yang dikatakan oleh Timbalan Menteri ini adalah merugikan dan bertentangan dengan realiti dan keperluan semasa,” ciapnya di Twitter.

Tidak hanya berlegar di dalam negara, kenyataan beliau nampaknya sudah pun memasuki ruang berita antarabangsa termasuk Daily Mail, The Times dan portal berita Australia, theaustralian.com.

Berita dari Daily Mail yang disiarkan pada 16 Februari itu setakat ini, sudah dikongsikan sebanyak 1,600 kali dan lebih 980 komen di ruangan komen berita tersebut.

Independent, portal yang berpangkalan di United Kingdom, turut melaporkan isu tersebut malah dalam artikelnya, ada menulis:

"Timbalan Menteri itu, yang merupakan Ahli Parlimen Pas, sebuah parti Islam yang mempunyai nilai konservatif, turut menasihati isteri tentang cara memastikan suami mereka bahagia."

Bahkan, GB News turut mengulas perkara berkenaan dalam rancangannya dan memulakan bicara dengan ayat: "Panduan memukul isteri daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ... yang merupakan seorang wanita".

Dalam klip dua minit dikongsikan di YouTube saluran itu, tiga individu dalam video tersebut mengkritik kenyataan itu bahkan mereka juga menjadikannya bahan gurauan.

Untuk rekod, kenyataan itu bukanlah kali pertama Siti Zailah berkongsikan kenyataan yang kemudiannya dikecam ramai pihak.

Pada April tahun lepas, beliau menyiarkan video, mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin memberi tekanan kepada keluarga, seterusnya membawa kepada keganasan rumah tangga.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan tiga kaedah meredakan tekanan dan ia adalah mempunyai sifat menghargai pasangan, memberi kemaafan dan ketaatan kepada agama.