KUBANG PASU: Dijanjikan upah lumayan, seorang pemandu lori sanggup mencuri guna van bapa saudaranya untuk membawa 18 pendatang tanpa izin (PATI) dari Bukit Kayu Hitam untuk di hantar ke Butterworth, Pulau Pinang.

Namun cubaan lelaki berusia 35 tahun itu terbantut apabila dia ditahan polis di Kilometer 8.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Bukit Kayu Hitam pada jam 5.30 petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, hasil pemeriksaan menemui 15 lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun di dalam van terbabit.

“Hasil siasatan suspek mengaku menerima upah dari rakannya untuk membawa kesemua PATI itu kepada majikan yang telah menunggu di Pulau Pinang.

"Manakala soal siasat ke atas Pati mereka mengaku memasuki negara ini pada 12 Mei lalu jam 11 malam melalui kawasan Bukit Tangga dan menunggu dalam hutan sementara diambil suspek," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu menerusi tangkapan kedua seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan ketika membawa tujuh PATI warga Myanmar di Kilometer 30.5 Lebuhraya Utara Selatan pada jam 10.30 pagi Isnin.

Suspek memandu kereta Perodua Alza miliknya dikatakan dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam untuk menghantar kesemua Pati terbabit ke Kubang Semang, Pulau Pinang.

“Polis percaya kedua-dua suspek warga tempatan ini berperanan sebagai transporter menerima upah daripada tekong darat,” katanya.

Jelas Rodzi, hasil siasatan 25 Pati terbabit telah melunaskan wang sebanyak RM5,000 setiap seorang kepada ejen yang berada di Myanmar.

Kesemua Pati terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670)/ Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.