KUALA LUMPUR: Mulanya disangka panggilan palsu, rupanya ia adalah pemberitahuan sahih tentang berita gembira buat seorang guru dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Khoo Lee Hah dipilih sebagai pemenang utama Cabutan Tahunan Jubli Perak Kempen Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN yang melayakkannya membawa pulang sebuah kereta Mercedes C200 Avantgarde.

Khoo, 39, mula menabung dalam Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus (Pakej Topaz) sebanyak RM100 sebulan untuk anaknya sejak 2016 untuk mendapat pelepasan taksiran cukai sebelum menyedari manfaat lain daripada usaha itu.

“Hari itu saya dalam perjalanan untuk bercuti dengan keluarga, tiba-tiba ada satu panggilan beritahu saya menang hadiah utama kempen di bawah PTPTN. Saya takut dia ‘scammer’.

“Saya cakap tak mungkin lah sebab saya punya tuah tak sebesar itu, sampai minggu lepas pun saya masih tak percaya hinggalah mereka beri kad jemputan, baru saya percaya,” katanya.

Seperti juga Khoo, Siti Nurdiana Kamalul Arifin melihat bukan sahaja manfaat pelepasan taksiran cukai yang boleh diperoleh daripada menabung dengan Simpan SSPN, tapi lebih penting adalah kelancaran masa depan dua orang anaknya.

Pengusaha jenama pakaian berusia 29 tahun itu adalah antara 25 orang pemenang Cabutan Siri ‘Silver’ 3 yang hadiahnya berupa wang tunai bernilai RM2,525 berkat menabung melalui Simpan SSPN Prime sejak Disember 2022.

“Sebenarnya menabung ini bukan senang, kena ada disiplin yang sangatlah tinggi untuk kita menabung sendiri di dalam akaun sendiri.

“Jadi, SSPN ini adalah tempat yang sangat bagus untuk anda ketepikan sejumlah wang untuk kebaikan anak-anak juga, tanpa sedar nanti sudah ada jumlah yang cukup untuk pendidikan mereka," ujarnya.

Kesedaran itu juga yang mendorong penganalisis dari Selangor, Ng Keat Yung, 40, untuk membuka akaun Simpan SSPN Prime sejak 2019.

Beliau merupakan antara 250 pemenang kategori Cabutan Khas Babyku Simpan yang menerima hadiah wang tunai RM1,000, menyedari bahawa pendidikan yang baik akan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada sesiapa sahaja.

“Saya sendiri pun peroleh banyak manfaat daripada pendidikan dari segi kerjaya jadi sebab itu saya memang merancang untuk ada satu dana dan Simpan SSPN adalah satu skim yang baik untuk anak kita punyai masa depan yang lebih bagus," jelasnya.

Majlis penyampaian hadiah Cabutan WOW! 25 Tahun PTPTN diadakan di Mercedes Benz Cycle and Carriage Bintang Berhad Petaling Jaya yang disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid pada Khamis.

Kempen cabutan tersebut berlangsung dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022 merupakan simbolik sempena ulang tahun ke-25 penubuhan PTPTN.

Guru bawa pulang kereta mewah, berkat menabung dengan SSPN