KUALA LUMPUR: Kekosongan jawatan serta keperluan opsyen di sesebuah negeri atau daerah menjadi prinsip asas kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memberi kelulusan pertukaran guru selain tempoh perkhidmatan.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mah Hang Soon berkata antara faktor lain yang perlu dipertimbang termasuk guru yang mengajar mata pelajaran khusus atau yang memerlukan kelayakan khas.

"Pertimbangan kelulusan bagi permohonan pertukaran ke negeri yang dimohon adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen.

"Sebagai contoh, pemohon yang berkhidmat tiga tahun atau lima tahun, telah memohon ke negeri yang tiada kekosongan jawatan seperti ke negeri Kelantan dan Terengganu, jadi permohonan itu tidak dapat dipertimbangkan atau diberikan kelulusan.

"Ia berbeza dengan permohonan yang sama ke negeri yang ada kekosongan perjawatan seperti di negeri Johor, Selangor dan Kuala Lumpur dimana permohonan tersebut dapat dipertimbangkan kelulusannya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang ingin tahu faktor yang mempengaruhi kelulusan pemindahan seseorang guru.

Mengulas lanjut, Hang Soon berkata KPM telah melaksanakan beberapa penambahbaikan selain komited memastikan kebajikan guru diberi keutamaan tanpa menjejaskan kepentingan perkhidmatan pendidikan.

"Keutamaan pertimbangan kelulusan pertukaran adalah kepada PPP (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan) yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya lima tahun di negeri semasa bagi negeri-negeri di Semenanjung atau sekurang-kurangnya tiga tahun di negeri semasa bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Sekiranya tiada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen bagi permohonan pertukaran PPP ke negeri yang dimohon, pertimbangan pertukaran akan diberikan kepada negeri pilihan kedua atau ketiga pemohon serta kepada negeri yang berdekatan," jelasnya.