KANGAR: Seramai 23 guru yang enggan menerima vaksin di negeri Perlis hanya akan dibenarkan mengajar secara dalam talian dalam sesi persekolahan atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata, daripada jumlah 26 orang bulan lalu, tiga daripadanya telah bersetuju menerima vaksin pada minggu lalu.

Beliau berkata, pihak Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan Negeri masih memberi ruang dan peluang kepada guru-guru ini untuk mengubah fikiran sebelum sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka.

Justeru, beliau menyeru kepada guru-guru yang masih enggan mengambil vaksin agar memikirkan kepentingan pendidikan murid-murid dan pelajar mereka.

“Kementerian masih lagi memberi peluang kepada mereka untuk mengubah fikiran, ada guru-guru yang pada mulanya enggan (divaksin) tapi sudahpun menerima nasihat dan kalau boleh kita nak elakkan daripada tindakan-tindakan yang akan diambil (terhadap guru-guru yang enggan divaksin).

“(Justeru) saya menyeru (kepada) guru-guru yang masih enggan untuk mendapatkan vaksin demi kepentingan pendidikan murid-murid khususnya untuk negeri Perlis untuk menerima vaksin supaya kita dapat meneruskan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah,” katanya kepada wartawan selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sin Min di Pauh di sini, hari ini.

Sementara itu, Rozieana berpuas hati dengan kehadiran 50 peratus daripada keseluruhan 8,296 murid dan pelajar pada sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

Katanya, kebanyakan ibu bapa masih lagi mengambil langkah tunggu dan lihat, namun beliau percaya kehadiran penuh mampu dicapai tidak lama lagi.

Selain itu, jelasnya, pihak sekolah masih lagi memberi kelonggaran kepada ibu bapa dan pelajar daripada segi kehadiran buat masa ini.

Jumlah keseluruhan pelajar dan murid yang memulakan sesi pembelajaran bersemuka di Perlis adalah 8,296 iaitu pelajar prasekolah sebanyak 2,654, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (3,570), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) (1,078) Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) (39) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI) (956).

Mengulas mengenai proses vaksinasi pelajar sekolah, beliau memberitahu, semua pelajar daripada tingkatan satu hingga lima telah mengikut janji temu yang telah ditempah oleh Jabatan Pendidikan negeri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan.

Tambahnya, proses pemberian vaksin untuk murid darjah enam juga akan dimulakan minggu ini.