SETIU: Seorang guru yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan di Pantai Kuala Baru, dekat sini pada Jumaat ditemukan lemas.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa Sugani Yasin, 51, ditemui jam 12.22 tengah malam tadi.

Katanya, mayat guru Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh itu dikesan kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan tenggelam oleh pasukan mencari dan penyelamat.

Jelasnya, lebih 55 kekuatan daripada pelbagai agensi digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, seorang guru dihanyutkan arus ketika sedang memukat ikan di kawasan muara Sungai Kuala Baru dekat Kampung Mangkuk pada Jumaat .

Mangsa dikatakan telah menaiki bot dari Kampung Fikri ke lokasi tersebut bersama 14 rakannya yang lain kira-kira jam 9 malam.

Mangsa bagaimanapun dikatakan terpijak di laluan air yang dalam dan terus tenggelam dihanyutkan arus.