KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti pendekatan terbaik membabitkan penugasan tugas kepada kira-kira 2,100 guru yang enggan atau masih belum menerima vaksin COVID-19.

Ia susulan keputusan KPM sebelum ini yang tidak membenarkan kumpulan guru berkenaan terlibat dalam sesi pengajaran di dalam kelas serta berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata ia bagi mengelakkan beban tugas dipikul sepenuhnya oleh para guru yang telah divaksinasi.

"Berkaitan soalan Padang Serai, apakah guru-guru yang tak divaksin ini dia tak mengajar bersemuka, dan dia boleh duduk bersantai sahaja? Tidak.

"Ada tugasan yang akan diberikan kepada guru-guru berdasarkan keadaan semasa sekolah.

"Ini kerana 2,100 orang ini dalam sekolah yang berbeza. Ada sekolah memang tak ada seorang pun, memang semua divaksin... Ada sekolah yang tiga orang dalam mata pelajaran yang sama, contoh (belum divaksin). 

"Jadi kita sedang teliti satu persatu apakah pendekatan terbaik," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.

2,100 guru memilih untuk tidak divaksin - Radzi


Beliau berkata demikian menjawab celahan Karupaiya Mutusami (PKR-Padang Serai) yang mahukan penjelasan adakah beban tugas akan dipikul oleh guru yang telah divaksin susulan daripada tindakan tidak membenarkan kumpulan guru yang enggan dan belum divaksin mengajar secara bersemuka.

Sementara itu, menjawab celahan RSN Rayer (DAP-Jelutong) mengenai jaminan KPM agar tiada sebarang tindakan diambil terhadap kumpulan guru yang enggan dan belum divaksin, Radzi berkata: "Ia bergantung kepada apa yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)."

Jelas beliau, ini kerana guru merupakan sebahagian daripada penjawat awam, dan KPM hanya mengikut keputusan JPA berkaitan hal tersebut.