GV9: Hilang fokus sewaktu rehearsal, Tok Ram 'marah' Dina Nadzir; 'Saya jerit, kenapa nyanyi teruk'

Gempak
Oktober 24, 2022 04:16 MYT
Ramli mengakui memarahi Dina sewaktu sesi raptai GV9 pada Sabtu kerana penyanyi itu dilihat seperti hilang fokus. Bapa Dina meninggal dunia pagi Ahad. - Gempak
KETUA juri program Gegar Vaganza 9 (GV9), Datuk Ramli MS mendedahkan dia telah memarahi salah seorang bintang program tersebut iaitu Dina Nadzir sewaktu sesi raptai persembahan pada Sabtu lalu.
Jelas Ramli atau mesra disapa Tok Ram, dia memarahi Dina kerana nyanyianya ketika itu kedengaran sedikit teruk dan seperti hilang fokus sebelum dimaklumkan bahawa penyanyi itu sebenarnya sedang berdepan situasi getir mengenai berita ayahnya yang sedang tenat.
“Saya tak tahu dia ada masalah, waktu rehearsal saya marah dia kenapa nyanyi agak teruk, saya jerit pada dia. Dina nyanyi waktu itu macam budak tadika, macam hilang arah dan tak fokus.
“Selepas saya jerit pada dia malam Sabtu, dia ada terima panggilan dan barulah saya tahu ayahnya sedang nazak ketika itu.
“Saya ini jenis yang jarang marah, tapi disebabkan niat untuk mengajar saya terpaksa berkeras sedikit pada peserta sewaktu rehearsal termasuklah Dina.
“Lepas saya tahu cerita sebenar baru saya faham kenapa Dina nyanyi teruk waktu rehearsal, saya meminta maaf padanya berkenaan hal itu,” jelasnya.
BACA: Bapa Dina Nadzir meninggal dunia
Tok Ram ditemui pada sesi sidang media GV9 usai konsert minggu keenam yang berlangsung di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.
Terdahulu, ayah kepada Dina Nadzir dimaklumkan telah meninggal dunia pada pagi Ahad. Susulan itu, Dina mengambil langkah untuk tidak tampil melakukan persembahan sehingga dia terpaksa akur apabila menerima markah terendah pada konsert minggu keenam GV9.
Bagaimanapun, tempat Dina telah diwakilkan oleh bintang perempuan GV9 yang masih bertanding iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Tom yang membawakan lagu berjudul Januari yang sepatutnya dibawakan oleh Dina sendiri.
#Ramli MS #GV9 #Dina Nadzir #ayah sakit tenat