Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu UMNO mencari pendekatan baru dalam menangani cabaran dan ancaman terhadap Islam terutamanya melibatkan soal kebebasan dan hak asasi manusia.

Katanya, ahli-ahli UMNO perlu meneroka ilmu dan kemahiran terkini untuk mencari penyelesaian kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam masa kini.

"Saya fikir budaya membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk dalam menghadapi asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi jawapan yang tuntas kepada kemelut yang dihadapi oleh ummah.

"Kita perlu memperbanyak perbincangan, penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut persepektif Islam dan juga bagaimana Islam menghadapi tantangan sekularisme," katanya dalam ucapan merasmikan persidangan pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Menurut Muhyiddin, UMNO perlu menangani isu liberalisme dan sekularisme "dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi".

Dalam ucapannya, Timbalan Presiden UMNO itu menarik perhatian kepada keresahan dan kebimbangan umat Islam terhadap kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas akidah umat Islam.

Katanya, umat Islam bimbang sekiranya fahaman itu tidak dibendung, akidah dan syariat yang selama ini dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh.

UMNO 2014
Hari pertama Perhimpunan Agung UMNO ke-68 di PWTC pada Selasa - fotoBERNAMA


Jelas Muhyiddin, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah dihadapi oleh UMNO yang selama ini hanya berhadapan dengan asakan daripada PAS "yang cuba membuktikan siapa lebih Islam".

UMNO, menurut Muhyiddin, sebagai parti tunjang Melayu-Islam, akan terus terus memartabatkan Islam sebagai dasar perjuangannya yang selama ini dilakukan dengan pendekatan sederhana atau wasatiyyah.

Dengan pendekatan kesederhanaan itu jugalah, katanya, UMNO harus tegas menentang gejala ekstremisme dan militanisme yang sedang mempengaruhi anak-anak muda "yang mahukan jalan pintas ke syurga".