KUALA LUMPUR:Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan perbalahan mengenai jawatan perdana menteri ketika negara berdepan pandemik COVID-19 sebagai perbuatan mengarut dan tidak peka dengan kesusahan yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata perbalahan itu hanya mengganggu usaha membantu rakyat yang terkesan oleh penularan pandemik tersebut, justeru harus dihentikan.

"Perkara yang tak patut kita buat pada masa ini, berbalah siapa nak jadi perdana menteri, nak lantik siapa perdana menteri.

"Suasana sebegini (ketika COVID-19) nak berbahas perkara itu (jawatan perdana menteri), nak cukup undi Parlimen, ini semua kerja-kerja mengarut. Tidak peka dengan wabak yang menimpa rakyat, ini mesti ditolak dan dicegah," katanya dalam ucapan penangguhan webinar Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan? secara dalam talian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata antara sebab perisytiharan darurat dibuat segera ialah bagi mengelakkan berlaku kemudaratan lebih besar di negara ini.

"Ada orang kata kenapa tidak dibincang dahulu, kita kena sedar bahawa darurat ini mudarat yang datang dengan segera, yang mesti dibendung dengan serta-merta, tidak boleh dibincang," katanya, menambah ada perkara yang boleh dibincangkan ketika darurat seperti tempoh tamat pelaksanaannya.

Pada 12 Jan lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau hingga ke suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

-- BERNAMA