AYER KEROH: Sebuah Kolej Vokasional di sini diarah tutup selepas 76 kes positif COVID-19 direkodkan membabitkan pelajar institusi berkenaan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jangkitan melibatkan 71 pelajar lelaki dan lima pelajar perempuan itu dikesan selepas 176 saringan membabitkan warga kolej dijalankan sejak 14 Januari.

Katanya, kes indeks pertama dikesan membabitkan seorang pelajar perempuan sebelum keputusan saringan kesemua kontak rapat sehingga semalam mendapati 76 daripada mereka positif, 97 negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

“Jabatan Kesihatan mengesan penularan kes di institusi pendidikan ini dipercayai berlaku kerana kes yang bergejala masih hadir ke kelas, seterusnya merebak kepada rakan-rakan yang lain.

“Melalui penilaian risiko juga, terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat berisiko seperti di surau dan bilik asrama,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengulas lanjut katanya, Kolej Vokasional berkenaan telah diarah tutup sejak 14 Januari lalu sehingga Jumaat ini bagi mengawal penularan jangkitan berkenaan.

Katanya, arahan itu dikeluarkan serta-merta kerana kadar penularan yang amat tinggi selain diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Tun Telani oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula semalam.

“Punca jangkitan kes indeks ini masih dalam siasatan namun kita tidak menolak kemungkinan beliau mungkin mendapatnya dari luar yang mana pelajar ini kembali ke kolej pada 9 Januari lalu dan mula bergejala tiga hari kemudian.

“Namun, meskipun ia masih dalam siasatan, kita juga tidak menolak kemungkinan pelajar ini mendapat jangkitan daripada ketidakpatuhan SOP di dalam kolej,” tambahnya.