KUALA PILAH: Seramai 28 orang disahkan dijangkiti COVID-19 selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Kampung Orang Asli Langkap, Tanjung Ipoh di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, saringan kontak rapat seramai 44 orang telah dijalankan pada 4 dan 5 Oktober lalu.

“Hasil saringan mendapati 28 orang positif dan 16 lagi negatif.

“Kes ini melibatkan tujuh keluarga yang menghadiri majlis perkahwinan pada 26 September lalu di kampung tersebut.

"Individu yang disaring melibatkan ahli keluarga dan tetamu sekampung yang menghadiri majlis perkahwinan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, daripada 28 individu disahkan positif, seramai 12 orang dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan 16 lagi dirujuk ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut.

Mengulas lanjut, semua keluarga yang menjalani kuarantin diberi bantuan bekalan makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, program vaksinasi akan diteruskan bagi mengawal penularan COVID-19 di perkampungan orang asli.

Artikel asal di Sinar Harian: Hadiri kenduri kahwin, 28 individu dijangkiti COVID-19