KUALA LUMPUR: Pendidikan tentang haid bukan hanya perlu diberi kepada golongan remaja perempuan, tetapi ia merupakan keperluan untuk semua peringkat usia dan jantina.

Ini terbukti apabila seorang daripada dua remaja perempuan ingin ponteng sekolah apabila mereka datang haid, menunjukkan haid masih menjadi halangan mental serta mengganggu persediaan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti harian.

Dapatan daripada kajian sulung Kotex Period Poverty and Stigma dijalankan dalam kalangan 750 remaja dan wanita berumur 10 hingga 24 tahun di seluruh negara, dan merupakan sebahagian daripada matlamat Kotex® untuk lebih memahami keadaan kemiskinan haid dan stigma berkaitan haid di Malaysia.

Hasil kajian didedahkan dalam acara meja bulat anjuran Kotex sempena Hari Kebersihan Haid dan disertai oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO).

"Apa yang penting adalah untuk mendidik, pendidikan yang bukan hanya mengenai pendarahan yang berkaitan dengan haid semata-mata tetapi juga kesan keseluruhan kepada kesihatan, fizikal dan mental.

"Kita perlu mendidik anak perempuan dan juga lelaki. Di rumah saya, anak lelaki saya kadang-kadang bertanya 'apa yang berlaku di sini ' dan kemudian kami membantu menjelaskannya," kata Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Martina Jezdikova, dalam sesi soal jawab selepas acara tersebut.

Dr Wan Hilya Munira Mustapha, yang mewakili LPPKN pula menegaskan kajian itu mengesahkan keperluan semua pihak campur tangan dan mengambil bahagian dalam proses pendidikan.

"Ia memerlukan kerjasama bukan sahaja ibu bapa dan guru, tetapi semua sektor; awam, swasta, NGO, pemimpin masyarakat, kita semua perlu memperkasakan generasi ini, muda dan dewasa tentang haid.

"Pastinya bukan tentang haid sahaja tetapi semua yang berkaitan seperti PMS, apakah itu, bagaimana aspek psikologi, mental, sosial yang berkaitan dengannya," ujarnya.

LPPKN kata Dr Hilya, mengalu-alukan usaha semua agensi, sektor swasta dan NGO termasuk kempen seperti Kotex Period Poverty and Stigma dan kempen pemasaran lain untuk memberi lebih banyak penerangan yang mampu memberi impak dalam masyarakat.

Kotex juga bekerjasama dengan LPPKN dan WAO untuk kempen pendidikan kebersihan haid dan pengurusan haid kepada remaja perempuan melalui webinar serta melalui permainan pendidikan, She Can Project.