KUALA LUMPUR: Semua jemaah haji yang melaksanakan ibadah itu dibawah pakej muassasah akan diberi layanan dan perkhidmatan yang sama.

Pengarah Eksekutif (Haji) Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, meskipun terdapat perbezaan jumlah bayaran bagi kelas pendapatan yang berbeza, itu hanyalah kerana perbezaan kemampuan setiap jemaah.

“Saya boleh sebut, mereka semua tak kira yang bayar RM10,980, RM15,980 atau RM30,850, mereka semua pergi haji melalui muassasah. Hanya ada satu standard, tahap perkhidmatan dan kemudahan yang sama.

[TERKINI] Sidang media pengumuman kos, bayaran dan bantuan kewangan Haji

“Perkara yang membezakan ialah bayaran mereka atas dasar kelayakan kemampuan. Ada jemaah yang capai tahap kemampuan sebab itu mereka bayar lebih. Tetapi mereka pergi haji atas pakej yang sama iaitu bilik yang sama,” katanya dalam program Agenda AWANI baru-baru ini.

Syed Saleh menjelaskan, dalam keadaan itu maka jemaah akan berkongsi bilik yang ahli sebilik itu ada campuran antara jemaah dibawah kategori B40, M40 danT20.

Situasi ini, jelas beliau, memenuhi semangat pelaksanaan haji iaitu menyahut seruan Ilahi ke Tanah Suci sebagai hambaNya tanpa dibezakan oleh pangkat dan harta.

“Saya rasa semangat haji itu dihidupkan. Tidak timbul perkhidmatan yang berbeza. Yang penting, mereka pergi sebagai jemaah haji Malaysia dan membantu antara satu sama lain.” katanya lagi.

Pada sidang media Isnin lalu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata. bagi musim haji 1444H/2023, kadar bayaran haji untuk jemaah muassasah dalam kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada kadar RM10,980 seorang.

Kadar tersebut selepas mengambil kira keputusan kerajaan menanggung RM1,000 daripada kadar asal akibat peningkatan kos haji.

Bayaran haji jemaah muassasah kumpulan M40 yang pertama kali menunaikan haji pula, meningkat RM3,000 kepada RM15,980 seorang.

Manakala, jemaah muassasah dalam kumpulan T20 iaitu mereka dengan pendapatan melebihi RM15,000 sebulan akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan Haji iaitu RM30,850 seorang.