KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah digesa untuk melipatgandakan usaha bagi memenuhi sasaran bayaran sekurang-kurangnya RM1 juta dividen kepada kerajaan negeri mulai tahun ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setakat ini sekurang-kurangnya 10 daripada 200 GLC yang membayar dividen kepada kerajaan negeri.

"Masih ada yang belum membayar. Jadi, semasa tempoh saya sebagai Ketua Menteri, saya menjadikan ia satu titik bahawa mereka semua perlu membayar sekurang-kurangnya RM1 juta setiap tahun.

"Saya mahu semua GLC memenuhi kewajipan mereka membayar dividen untuk digunakan bagi manfaat negeri dan rakyat. Mereka yang diamanahkan untuk memimpin dan mengurus GLC mesti melakukan demikian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Sabah Softwoods Berhad di Menara Kinabalu, pada Khamis.

Pada tahun lepas, kerajaan negeri menerima sejumlah RM114 juta bayaran dividen daripada GLC dan badan berkanun, yang mewakili 12.9 peratus peningkatan berbanding 2020.

"Kerajaan negeri yakin dengan tujuan dan sasaran ditetapkan, kita perlu terus meneroka sumber pendapatan baru termasuk inisiatif pelaburan dan pelbagai aktiviti ekonomi," katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, Sabah selaku pengeluar minyak sawit mentah (CPO) harus mempersiapkan diri untuk menangani apa jua situasi buruk dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu ekoran konflik Rusia-Ukraine.