SANDAKAN: Isu tular berhubung pertukaran penggunaan istilah wilayah ke atas Sabah dan Sarawak belum dapat dipastikan kesahihannya.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika diminta mengulas isu berkenaan berkata, pihaknya mengalu-alukan perkara terbabit.

Jelasnya, jika diimbas kembali sejarah penubuhan Malaysia, Sabah dan Sarawak sememangnya sebuah wilayah.

“Sebenarnya, itulah apabila kita bersetuju menubuhkan negara Malaysia, Sabah adalah satu wilayah, Sarawak satu wilayah dan bergabung dengan Tanah Melayu untuk menubuhkan negara Malaysia.

“Jadi mungkin itulah antara yang diperlukan oleh penduduk-penduduk di Negeri Sabah dan juga di Sarawak supaya balik ke asal nama di mana Sabah dianggap satu wilayah dan juga Sarawak dianggap satu wilayah, dan ini amat kita alu-alukan.

“Bagi saya ini adalah satu usaha untuk menguatkan lagi kesatuan negara kita Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pertemuan Bersama Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Zon Lima Sabah, di Sandakan, pada Khamis malam.

Terdahulu, pada Khamis sebuah portal berita melaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang melaksanakan pertukaran nama cawangan bagi semua agensi di bawahnya di Sabah dan Sarawak.

Lapor portal itu, sumber KKMM berkata pelaksanaan itu dilakukan susulan keputusan dan arahan diperoleh pada Mesyuarat Kabinet sebelum itu.

Ia selepas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin awal bulan ini, mengumumkan panggilan untuk Sabah dan Sarawak yang sebelumnya disebut sebagai ‘negeri’ ditukar kepada ‘wilayah’ serta-merta.

Perkara itu kemudiannya tular di media sosial.