KUALA LUMPUR: Sekumpulan 35 individu yang terdiri daripada bekas anggota badan kehakiman dan tujuh balu bekas hakim telah mengemukakan satu cadangan kepada kerajaan bagi menyelesaikan saman berhubung kegagalan kerajaan menetapkan kenaikan sewajarnya dalam pencen dan faedah yang mereka terima sejak 2015.

Bekas anggota badan kehakiman itu termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Haidar Mohamed Nor; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yunos yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat.

Mereka menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan pertama hingga keempat.

Peguam Christopher Leong, yang mewakili plaintif memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bahawa anak guamnya telah menulis cadangan itu tanpa prejudis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 1 Julai lepas.

"Rakan saya yang bijaksana daripada AGC telah menjawab pada 4 Julai lepas dan meminta diberikan masa untuk mendapatkan arahan daripada defendan sehingga 29 Julai. Plaintif tidak mempunyai bantahan kepada permintaan itu," katanya pada prosiding pengurusan kes hari ini yang berlangsung melalui aplikasi Zoom.

Leong juga berkata, pada 26 Mei lepas, Peguam Kanan Persekutuan (SFC) telah memaklumkan mahkamah bahawa defendan bersetuju tanpa prejudis untuk mengadakan perbincangan bagi melihat sama ada penyelesaian boleh dicapai dalam perkara itu.

Sementara itu, SFC Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC mengesahkan bahawa cadangan itu telah diterima.

"Kami telah memanjangkan cadangan itu kepada kerajaan dan kerajaan mungkin mengemukakan satu cadangan balas," katanya.

Wan Ahmad Farid kemudian menetapkan 16 Ogos untuk pengurusan kes selanjutnya bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemas kini mahkamah mengenai status terakhir berhubung perbincangan mereka.

Dalam saman yang difailkan pada 24 Jan lepas itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.

Plaintif berkata, mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan. - BERNAMA