KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melahirkan rasa kecewa dan menegur tindakan ahli politik itu membuat kenyataan media berhubung kes yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Hakim Azura Alwi turut menegaskan bahawa perkara mengeluarkan kenyataan bersifat subjudis seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana semua pihak termasuk pasukan pembelaan tertuduh mempunyai pengetahuan penuh, matang dan bukan kali pertama menghadapi prosiding di mahkamah.

"Perkara seperti ini (keluarkan kenyataan subjudis) pernah ditimbulkan sebelum ini, namun tiada sebarang perintah dikeluarkan. Ia masih berlaku lagi, saya boleh tegur tetapi saya tidak boleh bagi jaminan (ia tidak berulang). Saya amat kecewa dengan perkara ini. Harap perkara ini tidak berlaku (lagi) dan tidak ambil mudah hal ini.

"Kes ini telah mendapat liputan media dan melibatkan kes kepentingan awam, saya harap tertuduh dan pihak-pihak lain dapat menghormati mahkamah," tegas Azura.

Sebelum perbicaraan bermula, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin merujuk kepada mahkamah satu laporan polis yang dibuat berhubung kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Lim yang mendakwa beliau tidak bersalah kerana tiada jejak wang dibuktikan berkaitan pertuduhan itu.

"Pihak kami ingin mahkamah menegur supaya perkara ini tidak berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim mengesahkan perkara itu dan memohon maaf kepada pihak pendakwaan dan mahkamah susulan tindakan anak guamnya mengeluarkan kenyataan kepada pihak media pada Jumaat lepas.

"Saya faham pendirian pihak pendakwaan dan tidak patut keluarkan kenyataan, kami menerima teguran itu dan minta maaf kepada mahkamah," kata peguam itu.

Mahkamah menyambung prosiding untuk mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-28, Azli Adam, 58, iaitu bekas Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat, Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG).

Sebelum ini media melaporkan, laporan polis telah dibuat terhadap Lim susulan komen dibuat mengenai kes mahkamah melibatkan pemimpin tersebut dan laporan itu dibuat terhadap Lim berdasarkan artikel bahawa bekas Menteri Kewangan itu dipetik sebagai berkata keterangan saksi dalam perbicaraan rasuahnya adalah semata-mata satu rekaan dan konspirasi politik dan tindakan Lim adalah subjudis kerana perbicaraannya masih belum selesai.

Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Lim, bekas Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

-- BERNAMA