Hala tuju UMNO yang baharu diharap dapat menghentikan 'darah yang mengalir', susulan kehilangan 17 ahli Parlimen mereka selepas Pilihan Raya Umum tahun ini, kata Pemangku Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO hari ini telah menggariskan tiga perkara utama - menstrukturkan operasi UMNO termasuk memberi lebih mandat kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri; menjadi jurucakap rakyat; serta perkasakan parti untuk memenangi Pilihan Raya Umum seterusnya.

Selain itu, ujar bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Majlis Tertinggi UMNO juga bersetuju untuk memberi kuasa autonomi penuh kepada Badan Perhubungan UMNO Sabah memandangkan keadaan di sana lebih unik.


"Kita cuba hentikan 'darah' itu, dan nampaknya tekanan dan ura-ura (lebih ramai wakil rakyat keluar parti) itu nampaknya berkurangan.

"Saya akan jumpa semua wakil rakyat yang ada, dan nampaknya mereka berpuas hati dengan hala tuju baharu parti ini," katanya kepada sidang media di Menara Dato Onn, hari ini.

Mengulas lanjut, Tok Mat berkata, UMNO juga akan melihat kembali struktur Kabinet Bayangan juga akan diubah memandangkan ada di kalangan MP yang telah keluar pati, juga merupakan sebahagian daripadanya.

"Kita akan melihat sesiapa yang sesuai untuk menjadi MP yang bertugas (dalam kabinet bayangan itu), kerana seperti yang saya katakan tadi. kita mesti menjadi jurucakap rakyat, berkenaan isu luar bandar, berkenaan ekonomi dan macam macam lagi," katanya lagi.