PUTRAJAYA: Hala tuju ke arah gerakan sukan untuk semua bagi menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan siap tahun depan, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker.

Beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Majlis Leisure dan Rekreasi Malaysia (Marfima) sedang merangka hala tuju sukan untuk semua itu bagi memperkasakan pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat.

"Usaha itu penting supaya gerakan sukan untuk semua lebih menonjol di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Sukan Untuk Semua 2021 yang julung kali diadakan, di sini hari ini.

Dalam menyemarakkan aktiviti sukan untuk semua, KBS telah menggerakkan pelbagai aktiviti antaranya Hari Sukan Negara, Fit Malaysia, dan Jom Aktif yang mana inisiatif itu bukan sahaja mampu memupuk bakat-bakat di peringkat akar umbi malah melahirkan ikon sukan.

"Perkembangan industri sukan bukan sahaja dapat menyumbang kepada pulangan ekonomi lumayan kepada semua penggiatnya, malah dapat memberi kesejahteraan serta kemakmuran kepada negara," katanya.

Ti berkata KBS juga memberi tumpuan kepada sukan elektronik (e-sukan) yang semakin popular dalam kalangan remaja susulan pandemik COVID-19.

Namun beliau berpendapat perkembangan industri e-sukan perlu lebih tersusun dan dikawal selia supaya ia tidak dipandang serong.

"Perubahan zaman perlu diterima namun remaja perlu berdisiplin dalam mengurus masa serta tidak melibatkan unsur negatif seperti dadah untuk berjaga semata-mata mengejar pertandingan," katanya.

Mengenai persidangan dua hari yang bermula hari ini, Ti berkata ia adalah platform perkongsian pengetahuan kepada pemegang taruh sukan, penggiat sukan, penggerak sukan dan pegawai KBS dalam membangunkan sukan untuk semua di peringkat akar umbi sebagai persiapan kepada sukan prestasi tinggi.

-- BERNAMA