Hamidin dilantik presiden FAM ke-7

Bernama
Julai 14, 2018 08:30 MYT
Pelantikan Hamidin menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menerajui kerusi panas itu diisytiharkan pada Kongres FAM ke-54 di sebuah hotel di sini. - BERNAMA
Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-tujuh bagi baki penggal 2017-2021 secara rasmi hari ini.
Pelantikan Hamidin menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menerajui kerusi panas itu diisytiharkan pada Kongres FAM ke-54 di sebuah hotel di sini.
Bekas Setiausaha Agung badan induk bola sepak itu menang tanpa bertanding selepas pencabarnya bekas Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, membuat keputusan menarik diri.
"Rasa sungguh kerdil apabila menjadi rakyat marhaen yang pertama memegang jawatan ini. Tugas berat menanti saya...saya beri jaminan tidak ikut telunjuk mana-mana individu seperti dakwaan beberapa pihak demi pembangunan bola sepak negara," katanya ketika menyampaikan amanat pertamanya selaku Presiden di sini, hari ini.
Turut hadir mantan Presiden Tunku Ismail yang juga Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Kerusi panas itu menjadi kosong selepas TMJ melepaskan jawatan tersebut pada Mac lalu.
-- BERNAMA
#Datuk Hamidin Mohd Amin #Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi #FAM #ISN #Pengerusi Insititut Sukan Negara #Presiden Bola Sepak Kelantan #Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia #Tan Sri Annuar Musa #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #Tunku Mahkota Johor