Hampir 1.5 juta permohonan BKM sudah diterima setakat 7 Januari - Zafrul

Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 8, 2022 03:37 MYT
Zafrul meninjau proses pemohonan BKM oleh orang ramai di Jalan Duta pagi tadi. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ketika ini telah menerima sebanyak hampir 1.5 juta permohonan baharu dan kemaskini Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang dipohon melalui dalam talian dan juga secara fizikal sejak ia dibuka 1 Januari lalu.
Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, daripada jumlah itu 355,071 merupakan permohonan baharu manakala 1,124,191 adalah permohonan kemaskini BKM.
“Sehingga kini direkodkan juga hampir 95 peratus permohonan baharu dan kemaskini dibuat secara dalam talian.
"Perkembangan ini sesuatu yang positif kerana ia secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko penularan COVID-19 apabila pemohon tidak perlu keluar rumah dan hadir ke kaunter perkhidmatan BKM,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kaunter Pendaftaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) LHDN Cawangan Jalan Duta Penggajian, Kuala Lumpur pagi tadi.
Bagaimanapun jelasnya, bagi pemohon yang tidak mempunyai kemudahan internet, HASiL mengambil inisiatif untuk membuka kaunter perkhidmatan BKM di semua pejabat cawanganya.
Ia katanya bagi memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mendaftar dan membuat permohonan.
“BKM pada tahun 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion. Ini satu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR pada tahun 2021.
“Untuk kita kurangkan golongan yang tercicir (atau exclusion error), data dari BPR 2021 BKC 2021 dan pemohon BPR 2021 yang tidak lulus kerana mereka penerima GKP, kesemua mereka akan dibawa masuk secara automatik ke dalam sistem BKM untuk kita semak kelayakan mereka,” jelasnya lagi.
Kerajaan juga katanya akan menyemak-silang dengan data agensi Kerajaan yang lain merangkumi data e-Kasih, bantuan JKM, penghuni Perumahan Awam atau PPR di bawah DBKL dan KPKT, Orang Asli JAKOA, gelandangan berdaftar dengan KPWKM dan DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan PERKESO dan penerima zakat atau baitulmal di Lembah Klang.
#COVID-19 #hasil #BKM #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz