Sejumlah 1,974 pegawai kesihatan pelbagai gred telah dilantik bagi membantu pasukan hadapan memerangi wabak COVID-19, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

“Kerajaan mensasarkan pelantikan 2,000 pegawai kesihatan untuk tujuan ini.

“Saya berkongsi bahawa sehingga 12 April 2020, seramai 1,974 pegawai kesihatan pelbagai gred telah dilantik,” katanya dalam satu ucapan khas hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, pelantikan itu penting bagi memastikan sumber insan dan kepakaran mencukupi untuk menyokong usaha-usaha di makmal, hospital, dan pusat kuarantin seluruh negara.

Selain itu pihak Kementerian Kewangan juga mengesahkan Bayaran Elaun Khas Bulanan kepada penjawat awam barisan hadapan akan bermula April ini.

“Tuntutan elaun bulanan RM600 bagi pegawai kesihatan dan RM200 bagi pegawai barisan hadapan yang lain akan bermula pada bulan April ini, memanfaatkan 200,000 pegawai,” tambahnya.