ALOR SETAR: Pendaftaran individu bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hanya berada pada tahap 38 peratus, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan peratusan berkenaan akan meningkat pada tahap 50 peratus dalam tempoh dua bulan akan datang meskipunya angka itu masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu sebanyak 80 peratus.

Susulan itu, pihaknya, kata Khairy, akan melaksanakan pelbagai usaha dalam mencapai peratusan itu selain mengharapkan kerjasama daripada orang ramai dalam bersama-sama kerajaan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

"Hari ini kita 38 peratus daripada penduduk Malaysia (yang) berusia 18 tahun ke atas sudah pun mendaftar … hampir 40 peratus. Ini adalah kadar (peratusan) yang semakin meningkat,

"Saya jangkakan dalam sebulan dua ini akan mencecah 50 peratus pendaftaran, sasaran kita lebih daripada itu, nak sampai hampir 80 peratus lebih… jadi banyak lagi (orang) yang perlu daftar," kata Khairy.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 (PPV) Stadium Suka Menanti, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, jumlah pendaftaran vaksin dalam kalangan rakyat negeri Kedah juga masih lagi rendah iaitu pada tahap 32 peratus membabitkan 517,100 individu yang berusia 18 tahun ke atas.

Manakala, bagi pendaftaran warga emas pula, sebanyak 33 peratus golongan berkenaan di negeri Jelapang Pagi itu merangkumi 91,491 orang sudah mendaftar daripada jumlah keseluruhan 272,444 individu.

Tambah Khairy, daerah yang mencatatkan pendaftaran terbanyak ialah Sik sebanyak 55 peratus manakala Langkawi pula menjadi kawasan terendah iaitu sebanyak 17 peratus.