KUALA LUMPUR: Dianggarkan hanya 58 peratus kanak-kanak di negara ini boleh hadir ke sekolah ketika tempoh cuaca melampau yang disebabkan perubahan iklim.

Statistik itu didedahkan dalam Laporan Impak Perubahan Iklim Terhadap Kanak-Kanak: Perspektif Malaysia 2021 yang dijalankan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kajian tersebut mendapati, walaupun krisis iklim menjejaskan hak kanak-kanak, namun kumpulan tersebut sering kali diabaikan dalam reka bentuk dan kandungan dasar iklim.

Ia membentangkan analisis menyeluruh tentang kesan berkaitan iklim dan alam sekitar khusus kepada kumpulan terpinggir yang merangkumi kanak-kanak daripada masyarakat pribumi, tidak berdokumen dan miskin bandar.

Wakil Unicef di Malaysia dan wakil Khas ke Brunei Darussalam, Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata, perubahan iklim adalah satu-satunya cabaran  terbesar untuk merealisasikan hak kanak-kanak dan mengancam kemajuan global dalam meningkatkan kebajikan kanak-kanak.

"Perubahan iklim adalah krisis kanak-kanak. Jika kita tidak atasi perkara ini hari ini, kita tidak akan memiki masa depan yang baik. Saya percaya semua yang hadir hari ini sedar bahawa perubahan iklim berlaku di seluruh dunia.

"Ini adalah laporan yang pertama seumpama ini dibawa ke Malaysia, dan mengenal pasti isu-isu utama dan mentakrifkan syor-syor utama yang perlu kita bergerak ke hadapan," katanya ketika berucap pada Pelancaran Laporan Impak Perubahan Iklim Terhadap Kanak-Kanak: Perspektif Malaysia 2021 secaar dalam talian pada Jumaat.

Turut menghadiri sesi itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Strategik Kementerian Pembangunan, Wanita dan Masyarakat, Dr Hishamuddin Mohd Hashim.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat UKM, Prof. Datuk Dr Norazah Mohd Nordin; Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM, Prof. Dr Suzana Sahar serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Madya Dr Ramzah Dambol.

Sementara itu, Dr Norazah berkata, kerjasama antara wakil kerajaan dan sektor swasta dalam mencari jalan mengetengahkan isu berkait dengan kanak-kanak, persekitaran, serta perubahan iklim perlu dipertingkatkan.

Dalam masa yang sama, Dr Ramzah berkata, kesan selepas krisis adalah masa yang sesuai untuk pembinaan semula negara secara mampan, dengan meletakkan kanak-kanak dan perubahan iklim sebagai agenda utama.

Kajian kes Laporan Impak Perubahan Iklim Terhadap Kanak-Kanak: Perspektif Malaysia 2021 dijalankan di tiga kawasan iaitu Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak; Pulau Gaya, Sabah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus, Kuala Lumpur.

Laporan itu mendedahkan lima perkara yang perlu diberikan perhatian terhadap kanak-kanak iaitu kerentanan terhadap penyakit berjangkit; akses kepada sekolah dan pendidikan; akses kepada kemudahan asas dan bekalan;ketidakstabilan sumber pendapatan keluarga; serta bahaya kesihatan dan kesejahteraan hidup umum.