Sebanyak 815 aduan diterima mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sehingga semalam, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, 40 peratus merupakan aduan mengenai pembelian kad tambah nilai prabayar telefon yang turut dikenakan caj CBP.

"Pada ketika saya menjawab soalan ini, pihak Kastam Diraja Malaysia telah memanggil syarikat telekomunikasi untuk memberi keterangan mengenai aduan yang diterima ini.

Jika mereka berdegil tidak mahu mengikut arahan, maka kita akan bawa kes ini ke mahkamah dan ianya akan jadi kes pertama sekiranya masih berdegil," katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Sapawi Amat Wasali (BN-Sipitang).

Sapawi ingin mengetahui jumlah aduan yang diterima setelah CBP dilaksanakan semalam di seluruh negara memandangkan rata-rata rakyat negara ini memuat naik resit pembelian kad tambah nilai prabayar telefon yang dikenakan caj CBP di laman media sosial.

Ahmad menasihatkan pembeli menyimpan resit pembelian dan pergi semula ke mana-mana premis perniagaan bagi membuat tuntutan bayaran balik wang yang telah dibayar semasa membeli kad tambah nilai prabayar telefon.

Kepada soalan tambahan yang diajukan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) mengenai tindakan sesetengah syarikat memecahkan akaun bagi mengelak membuat pendaftaran CBP, Ahmad berkata: "Strategi yang mereka ambil itu silap".

Katanya, apabila akaun syarikat dipecahkan bagi mengelak untuk mendaftar CBP kerana mempunyai pendapatan tahunan di bawah paras RM500,000, maka syarikat berkenaan tidak boleh menuntut cukai input.

"Kalau tidak boleh tuntut, maka kos perniagaan mereka akan meningkat enam peratus berbanding pesaing mereka yang mendaftar CBP," katanya.

Ahmad berkata sehingga semalam, sebanyak 364,862 syarikat telah mendaftar CBP.

Mengenai bil perkhidmatan penyelenggaraan rumah kos rendah, Ahmad berkata ianya dikecualikan CBP namun tidak bagi mereka yang tinggal di kawasan komuniti berpagar dan perumahan mewah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) yang ingin tahu sama ada bil perkhidmatan penyelenggaraan rumah kos rendah dikenakan CBP.

"Sekiranya ada mana-mana Badan Pengurusan Bersama (JMB) mengenakan CBP, maka pengguna boleh lapor ke talian CBP 1300-888-500," kata Ahmad.

Beliau berkata menerusi promosi penerangan CBP, maklum balas daripada orang ramai turut dikumpul dan majoriti mengakui bahawa kesedaran mengenai cukai itu sudah meningkat berbanding sebelum ini.