KOTA BHARU: Genap 10 hari ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim atau lebih dikenali sebagai Azie dilarikan penjenayah.

Selama itu juga, tidak henti-henti pelbagai ikhtiar dilakukan oleh keluarga Azie bagi menjejaki kehilangannya.

Adik mangsa yang dikenali sebagai Mohammad berkata, selain menunggu perkhabaran baik daripada polis, pelbagai usaha giat dijalankan keluarga untuk mencari kakaknya di sekitar kawasan yang melibatkan sungai dan daerah Tumpat.

Bagaimanapun, semua itu, katanya, masih belum menunjukkan sebarang petunjuk.

Susulan kejadian itu, keluarganya, kata Mohammad, melakukan solat hajat di rumah mereka setiap hari memohon Allah memudahkan urusan mengembalikan kakaknya yang berusia 36 tahun itu dengan selamat.

"Hanya pertolongan daripada Allah sahaja mampu membantu buat masa ini. Sejak insiden itu, keluarga saya buat solat hajat setiap hari. Malam ini ada buat solat hajat di Masjid Muhammadi selepas Isyak," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Dalam masa sama, Mohammad mewakili keluarganya memohon seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan keselamatan kakaknya.

"Saya minta seluruh rakyat Malaysia bersama-sama turut sama mendoakan keselamatan Azie dapat pulang ke rumah dengan selamat secepat mungkin," katanya.

Kedukaan berikutan kehilangan Azie, ujar Mohammad, turut menyebabkan ada dalam kalangan mereka mengalami masalah kesihatan kerana terlalu khuatir.

Kata Mohammad, disebabkan terlalu sedih dan merindui kakaknya menyebabkan ibunya jatuh sakit.

"Kami sedih sangat. Hari ini masuk hari ke-10 dah kakak kena culik. Kami sekeluarga sangat sedih dengan insiden yang berlaku. Ma (ibu) pun kurang sihat kerana terlalu letih dan tertekan," ujar Mohammad lagi.

Azie dilaporkan dibawa lari oleh sekumpulan penjenayah pada 13 September lepas  dari rumah keluarganya  di Kampung Semat Jal, Palekbang Tumpat.

Mangsa dibawa menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna perak yang kemudiannya kereta berkenaan ditemui di pengkalan haram Kuala Jambu, Tumpat pada petang hari kejadian.