KUALA LUMPUR: Hanya dua kanak-kanak yang disahkan menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di Wad Rawatan Rapi (ICU), bagi tempoh 1 Jan hingga semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kedua-dua kes positif virus enterovirus 71 (EV71) dengan kes pertama telah beransur pulih semalam dan tidak lagi memerlukan bantuan pernafasan, namun masih dipantau di ICU manakala kes kedua masih memerlukan bantuan pernafasan tetapi dalam keadaan stabil.

"Kedua-dua kes ini positif virus enterovirus 71 (EV71). Survelan virus penyebab HFMD mendapati EV71, Coxsackie A16 (CA16) dan Coxsackie A6 (CA6) adalah virus yang pradominan (utama) yang berada dalam persekitaran Malaysia," katanya dalam sidang media secara maya dari Geneva, hari ini.

Khairy berkata dalam tempoh 1 Jan hingga semalam, sebanyak 57,510 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 24 kali ganda bagi tempoh yang sama pada 2021 (semasa pandemik) iaitu 2,333 kes.

Namun, katanya, jika dibandingkan dengan tempoh yang sama sebelum pandemik COVID-19 pada 2019, peningkatan kes pada tahun ini adalah sebanyak 27,664 kes; iaitu hampir sekali ganda.

"Peningkatan kes ketara berlaku sejak April 2022 berikutan pembukaan aktiviti sosial, termasuk sesi kehadiran penuh sekolah, taska, tadika dan tabika. Selain itu, kebersihan diri yang tidak terjaga terutama amalan mencuci tangan, penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka boleh menyebabkan berlakunya jangkitan HFMD.

"Peningkatan kes ini semakin memuncak pada minggu epid (ME) 20/2022 (15 hingga 21 Mei) dan ME21/2022 (22 hingga 28 Mei) disebabkan oleh aktiviti sosial semasa sambutan Hari Raya," katanya.

Selain itu, beliau berkata lima negeri yang mempunyai bilangan kes tertinggi adalah Selangor dengan 16,286 kes atau 28.32 peratus, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 7,298 kes (12.69 peratus), Perak 5,045 kes (8.77 peratus), Kelantan 4,194 kes (7.29 peratus) dan Sabah 3,829 kes (6.66 peratus).

Katanya kes paling banyak dilaporkan adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, iaitu 52,846 kes (92 peratus) manakala kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun adalah seramai 3,741 kes atau 7 peratus.

Beberapa langkah kawalan dan pencegahan HFMD telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah antaranya pemeriksaan, penutupan dan basmi kuman premis, persampelan klinikal, pendidikan kesihatan.

Selain itu, sesi townhall bersama pengusaha dan guru taska, tadika, tabika, prasekolah dan sekolah, pengusaha taman permainan dalaman serta Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) turut dijalankan.

"Kementerian Kesihatan menasihati semua pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika untuk sentiasa memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak; membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda HFMD.

"Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang mempunyai tanda jangkitan HFMD dinasihati tidak membawa anak ke tempat awam, sekolah, taska, tadika atau pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan selain mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh atau merawat lepuh.

"Bagi pengusaha taman permainan dalam bangunan dan juga PPKM perlulah mengambil saranan seperti mengadakan saringan di pintu masuk taman berkenaan serta membuat pembersihan premis dan basmi kuman alatan sekurang-kurangnya dua kali sehari," katanya.

Sementara itu semasa sesi soal jawab sidang media itu, Khairy berkata kerajaan belum ada perancangan untuk melaksanakan sebarang imunisasi secara massa bagi penyakit berjangkit seperti HFMD serta cacar monyet (monkeypox).

-- BERNAMA