KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih di peringkat pandu uji atau pembuktian konsep (POC) sebelum keputusan mengenai pembelian kenderaan jenis BMW M3 dan Volkswagen Tiguan dimuktamadkan.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Bukit Aman ketika ini sedang menguji lima kereta BMW M3 dan Volkswagen Tiguan selama dua minggu.

"PDRM pada masa ini hanya menggunakan kereta berkenaan selama dua minggu sebagai percubaan tanpa apa-apa perjanjian.

"Tujuannya adalah untuk kita mendapat maklum balas sama ada kegunaan kenderaan ini sesuai atau tidak bagi sebarang penugasan dalam PDRM," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas perkara itu susulan penyebaran gambar lima unit kenderaan mewah jenis BMW dan Volkswagen, yang sudah dilengkapi aksesori kenderaan PDRM.

Sementara itu Berita Harian yang memetik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali melaporkan kenderaan berkenaan akan digunakan oleh Jabatan KDNKA, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan cawangan pengiring.

Menurut Hazani, PDRM juga sedia maklum tentang kekangan kewangan yang dialami oleh kerajaan semasa pandemik COVID-19 ini namun tawaran yang diberikan oleh syarikat berkenaan hanyalah untuk pandu uji.