KERIAN: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di sini, ditutup petang tadi, apabila kesemua 110 mangsa membabitkan 26 keluarga dibenarkan pulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata, PPS berkenaan ditutup berkuat kuasa jam 5 petang Jumaat.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak dan agensi terlibat yang bertungkus-lumus mengurus selia PPS dengan baik dan cemerlang.

Dengan penutupan itu, bermakna hanya sebuah PPS masih dibuka iaitu di SK Alor Pongsu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, jumlah mangsa banjir di daerah Kerian berkurangan kepada 50 orang daripada 17 keluarga malam ini berbanding 160 orang daripada 43 keluarga pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata kesemua mangsa kini masih ditempatkan di PPS SK Alor Pongsu setakat 7 malam.

"Sementara itu, sebuah lagi PPS di daerah berkenaan iaitu di SK Changkat Lobak yang menempatkan 110 daripada 26 keluarga ditutup sepenuhnya pada kira-kira 5 petang tadi," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Banjir selama lapan hari di Mukim Beriah, Alor Pongsu, di sini memberikan kesan buruk seperti kediaman dipenuhi kotoran dan lumpur selain mengakibatkan kerugian termasuk kepada seorang penternak ayam Mohammad Nasir Ismail, 41.

Beliau berkata 24 ekor ayam kampung dan kacukan Arab bernilai hampir RM1,500 yang diternaknya hilang atau mati dibawa arus deras pada Jumaat lepas.

"Dalam beberapa jam sahaja, air naik mendadak dan menenggelamkan reban ayam malah ada juga ayam baka Arab yang mati dimakan ular sawa," katanya yang menjual ternakan itu di Taiping, Kuala Kangsar dan Pulau Pinang.