"Hanya untuk hiburkan kanak-kanak"

Adie Sufian Zulkefli
Jun 19, 2018 00:13 MYT
Hampir 6,000 kanak-kanak hadir pada majlis itu dan kesemuanya mendapat wang Hari Raya. - Astro AWANI/Adie Sufian Zulkefli
Bukan untuk mengawal pemberian duit raya, tetapi cop di tangan kanak-kanak hanyalah untuk keseronokan semata-mata.
Itu kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Fisol Jaafar mengenai tindakan cop pemberian duit raya di Majlis Rumah Terbuka Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Ahad.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengawal pemberian duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis berkenaan sebagaimana tular di media sosial.
Malah cop itu merupakan dakwat air yang mudah padam.
Jelasnya, jika mereka berniat mengawal, sudah pasti pihaknya akan menggunakan dakwat kekal atau bahan yang sukar dipadam.
Kata beliau, hampir 6,000 kanak-kanak hadir pada majlis itu dan kesemuanya mendapat wang Hari Raya.
Sebelum ini perkara tersebut tular di media sosial susulan kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook milik bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Anina Saadudin yang membangkitkan penggunaan cop dalam pemberian duit raya.
#Anina Saadudin #cop #dakwat air #duit raya #Hari Raya Aidilfitri #Majlis Rumah Terbuka #media sosial #Mohd Fisol Jaafar #Mukhriz Mahathir