Hanya warga asing di Depoh Tahanan Bukit Jalil dan Semenyih yang disahkan negatif COVID-19 akan dihantar pulang semula ke negara asal mereka.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang positif virus berkenaan akan melalui ujian dan saringan COVID-19.

Ketika ini, dua kes positif dikesan di Depoh Tahanan Semenyih dan 60 kes lagi dikesan di Depoh Tahanan Bukit Jalil.

"Mengenai Depoh Tahanan di Bukit Jalil dan Semenyih, di Semenyih ada dua kes namun kita akan melakukan saringan dan ujian kepada semua tahanan di Semenyih dan Bukit Jalil.

"Polisinya adalah sebelum kita menghantar mereka pulang ke negara asal, kita akan lakukan ujian dan saringan ke atas mereka terlebih dahulu. Mereka yang positif akan diasingkan," katanya dalam sidang media harian di sini pada Jumaat.

Ujarnya, 114 kakitangan di Depoh Tahanan di Bukit Jalil negatif COVID-19.

"60 warga asing yang positif iaitu melibatkan 35 orang dari Blok A, 24 orang Blok B, dan seorang Blok C," tambah beliau.