KUALA LUMPUR: Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman hari ini menggesa tindakan untuk menangani masalah ketidaksamaan dalam kalangan Orang Hidup Dengan HIV dan AIDS (ODHA) yang menghalang kemajuan untuk menghapuskan AIDS.

Dalam mesej sempena sambutan Hari AIDS Sedunia 2022 esok, yang bertemakan 'Equalize' atau 'Kesaksamaan', beliau berkata, stigma dan diskriminasi terus memberi kesan kepada kehidupan ODHA yang menjadi penghalang yang tidak diperlukan kepada perkhidmatan rawatan, pencegahan dan penjagaan HIV serta meletakkan masyarakat pada kedudukan yang amat merugikan.

"Amat malang sekali, bahawa segala halangan usaha kami untuk menghapuskan jangkitan AIDS adalah berpunca daripada ketidaksamaan. Kami tahu perkara yang perlu dilakukan untuk menghapuskan wabak AIDS, tetapi kami tidak mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk melakukannya.

"Paling kritikal, kita perlu berani untuk meminda undang-undang, dasar dan amalan untuk menangani stigma dan perbezaan layanan yang dihadapi oleh ODHA dan golongan yang dipinggirkan supaya semua orang dihormati dan dilayan tanpa prejudis," katanya.

Dr Adeeba berkata, ini juga termasuk lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM), transgender, penagih dadah, pekerja seks - dan pasangan mereka.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk menunjukkan tahap kepimpinan dan keazaman yang sama dalam menangani gelombang penularan seksual HIV yang semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan komuniti MSM, dan menghapuskan semua bentuk ugutan dan halangan yang menghalang akses kepada perkhidmatan pencegahan HIV kritikal seperti kondom dan profilaksis pra-pendedahan atau PrEP.

"Gesaan untuk kesaksamaan ekonomi juga perlu ditekankan. Dengan PLHIV kini mempunyai jangka hayat dan tahap produktiviti yang sama dengan orang normal, maka tidak ada sebab status HIV akan menjadi batu penghalang untuk mendapatkan pekerjaan," tambahnya. - BERNAMA