KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk wakil media, sektor awam dan swasta perlu bekerja dalam satu pasukan bagi memerangi rasuah di negara ini.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, tugas memerangi jenayah itu bukan hanya terletak kepada pihak penguatkuasa semata-mata, sebaliknya masyarakat dan komuniti di sesebuah negara. 

"Ini adalah pengiktirafan bahawa memerangi rasuah bukan kerja satu entiti. Sesungguhnya, menangani jenayah ini adalah hak dan tanggungjawab semua dengan kerjasama dan penglibatan individu, komuniti, masyarakat, penguatkuasaan undang-undang, wakil media, awam dan sektor swasta.

"Kerjasama global merentas sempadan juga semakin perlu untuk menentang rasuah dan penipuan, ini kerana jenayah kewangan ini tidak lagi terhadp dalam sempadan sesebuah negara," jelasnya.

Jelas Azam, tema menyatukan dunia melawan rasuah sempena HARA 2022, amat tepat pada masanya.

Ia bagi memastikan Malaysia tidak lagi terkesan dengan impak negatif rasuah terutama dalam kalangan masyarakat.

"Oleh itu, dalam dunia globalisasi ini, tema menyatukan dunia melawan rasuah adalah tepat pada masanya.

"Rasuah berimpak negatif kepada setiap dimensi masyarakat, ia mengakibatkan konflik dan menghalang keamanan serta pembangunan dengan menganggu kedaulatan undang-undang.

"Akibat rasuah adalah manifol dan merosakkan ekonomi, kestabilan politik dan sistem keselamatan negara. Sebab itu di Malaysia, SPRM menggunakan pendekatan holisitik menerusi tiga strategi iaitu penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan," katanya lagi.

Dari sudut pendidikan pula ujarnya, SPRM telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menjalankan seminar berkaitan anti rasuah di seluruh negara.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Forum Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2022 yang diadakan secara hibrid dan dihadiri oleh lebih 1,500 pekerja swasta dan pegawai kerajaan di seluruh negara.

Sehingga kini, lebih 1,000 peserta daripada lebih 100 buah syarikat multinasional dan komersial telah terlibat dalam seminar anti pencegahan rasuah. 

Malah syarikat korporat dan swasta yang terlibat secara langsung dalam aktiviti pencegahan rasuah menerusi seminar juga layak memohon potongan cukai.

"Panel kami, akan membincangkan peruntukan liabiliti korporat, manakala panel kedua adalah menawarkan insentif cukai melalui aktiviti pencegahan rasuah.

"Peruntukan liabiliti korporat berkuatkuasa pada Jun 2020, di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009, sesebuah pertubuhan komersial boleh didakwa jika ada diantara pekerja atau rakan bersekutu melakukan rasuah untuk kepentingan atau kelebihan organisasi.

"Syarikat bertanggungjawab jika gagal untuk membuktikan bahawa ia telah mengambil langkah yang mencukupi untuk mencegah berlakunya amalan rasuah dalam urus niaga mereka," katanya lagi.

Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) diraikan setiap sembilan Disember bagi menentang gejala rasuah di peringkat global.