Harap tiada fitnah, berita palsu dalam media sosial sepanjang PRK DUN Chini

Bernama
Jun 21, 2020 10:40 MYT
Saifuddin berharap tiada penularan berita palsu atau fitnah berlaku dalam media sosial. - Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berharap tiada penularan berita palsu atau fitnah berlaku dalam media sosial sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Beliau berkata, media sosial dijangka menjadi antara medium utama berkempen memandangkan PRK itu berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyebabkan kempen yang melibatkan kehadiran dalam jumlah besar tidak dibenarkan.
"Kita harap tidak berlaku penularan fitnah atau berita palsu dan yang paling penting tolong jangan kongsi perkara tidak benar... untuk pastikan kesahihan berita cukup mudah kerana hanya perlu klik portal sebenarnya.my.
"Jika berlaku penularan berita palsu atau fitnah, kita boleh mengambil tindakan jika menerima laporan sama ada oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau pihak polis," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Internet Semambu di sini, pada Ahad.
PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lepas di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK diadakan pada 4 Julai ini.
#Chini #media sosial #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #pilihan raya #pilihan raya kecil #PKPP #Saifuddin Abdullah #Suruhanjaya Pilihan Raya