BUKIT MERTAJAM: Bermula 1 Januari hingga 4 Februari depan empat barangan keperluan iaitu ayam, telur ayam, sayur kacang panjang dan sawi akan mengalami penurunan harga di seluruh negara.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, empat barangan berkenaan adalah sebahagian daripada 12 jenis barangan yang termaktub di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang terlibat dalam pelarasan harga semula.

Menurut beliau, pelarasan harga baru dibuat dengan mengambil kira situasi dan lokaliti setempat dan pihaknya berharap tiada isu kenaikan harga berlaku dalam tempoh kawalan tersebut.

Azman berkata, sebanyak 25,897 premis diperiksa dengan 85 kes diambil di bawah penguatkuasaan SHMKM sejak ia dilancarkan 7 Disember hingga semalam.

Sebanyak RM20,000 kompaun, kata beliau, telah dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan membabitkan kesalahan menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum serta  tidak meletakkan tanda harga.

Bagi Skim harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMK) 2021 pula, sebanyak 7,178 premis telah diperiksa namun tiada tindakan kes direkodkan .

Sementara itu, bagi Ops Back To School (BTS) yang dilaksanakan sejak 13 Disember hingga 20 Mac, sebanyak sembilan barangan keperluan sekolah antaranya pakaian sekolah beg sekolah dan peralatan pembelajaran.

“Untuk Ops Back To School kita akan teruskan sehingga musim persekolahan dibuka dan kita sarankan peniaga (tawarkan) harga yang munasabah dan dalam lawatan hari ini (dapat dilihat) mereka (peniaga) banyak memberikan harga promosi dan diskaun, kita amat menghargai usaha tersebut sebagai satu sumbangan kepada masyarakat yang terkesan dengan COVID-19,” kata Azman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan walkabout BTS dan SHMMP di Pasaraya Mydin di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai aduan kenaikan harga di negeri yang dilanda banjir, Azman berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara tersebut.

Jelasnya, satu operasi khusus akan dilancarkan kementerian pada Sabtu ini bagi menangani isu kenaikan harga dan bekalan.