KUALA LUMPUR: Langkah peluasan liputan rangkaian 5G yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2023 mampu menurunkan lagi harga Internet yang ditawarkan kepada pengguna ketika ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Teo Nie Ching berkata ini kerana Digital Nasional Berhad (DNB) selaku badan yang bertanggungjawab untuk pembangunan rangkaian itu telah menawarkan perkhidmatan 5G untuk RM0.13 sen per gigabit, melalui tawaran akses rujukan.

Menurutnya harga yang ditawarkan itu lebih rendah berbanding kos untuk perkhidmatan 5G ketika ini iaitu pada RM1.68 sen per gigabait.

"Jadi memang kami percaya dengan (langkah) liputan rangkaian 5G diperluaskan lagi, harga Internet kita bolehlah diturunkan lagi," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu sama ada kos perkhidmatan 5G boleh dikurangkan sekiranya perkhidmatan itu telah dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.

Teo berkata buat masa ini tahap pelaksanaan perkhidmatan 5G adalah 54.7 peratus dan KKD yakin dapat mencapai sasaran 80 peratus liputan untuk kawasan berpendudukan seperti Cameron Highlands (Pahang) dan Sibu (Sarawak) pada akhir tahun ini.

Katanya kerajaan juga akan memastikan kos pelaksanaan perkhidmatan 5G akan terus kekal pada RM16.5 bilion bagi membolehkan pengguna menikmati Internet pada harga munasabah.

Bagi menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) sama ada DNB akan terus dimiliki oleh Kementerian Kewangan atau diberi kuasa kepada syarikat telekomunikasi (telco) lain, Teo berkata perbincangan mengenainya telah dimulakan supaya syarikat telco turut mempunyai agihan saham dalam DNB.

"Tetapi setakat ini perjanjian (perbincangan) itu belum dimuktamadkan lagi dan memang kami (KKD) bersama syarikat telco tengah membuat libat urus, sebab syarikat telco ada beberapa pertanyaan kalau mereka memperoleh saham DNB, apa hak mereka sebagai pemilik saham?

"Jadi ada butiran yang perlu diperhalusi sebelum syarikat telco buat keputusan akhir," katanya.

Sementara itu menjawab soalan asal Lim yang meminta KKD menyatakan kos dan kualiti perkhidmatan 5G yang ditawarkan oleh syarikat kepada pengguna dan usaha untuk mengurangkannya lagi sehingga ia adalah terendah di ASEAN, Teo berkata harga yang ditawarkan oleh pembekal perkhidmatan ditentukan oleh kuasa pasaran.

Menurutnya, sekiranya pasaran gagal berfungsi secara efisien, maka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh campur tangan dalam menetapkan harga.

"Namun demikian, SKMM mengawal selia harga capaian di peringkat borong melalui instrumen perundangan Penentuan Suruhanjaya mengenai Standard Mandatori Harga Capaian dengan izin, Mandatory Standard on Access Pricing (MSAP) dan kajian mengenai harga capaian ini dibuat secara berkala.

"Melalui kawal selia di peringkat borong tersebut, ia secara tidak langsung boleh mengurangkan harga di peringkat runcit, kepada pengguna ke tahap yang lebih berdaya saing," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan 5G baru ditawarkan di Malaysia dan buat masa ini, pembekal perkhidmatan mengamalkan konsep teknologi neutral dalam penawaran harga dengan tiada perbezaan antara perkhidmatan 5G dan 4G.

-- BERNAMA